Pasar Pelbagai Barangan Gadong mula beroperasi hari ini yang menempatkan sebanyak 150 petak mengikuti kategori jualan iaitu salai-menyalai sebanyak 16 petak, masak-memasak 81 petak manakala sebanyak 39 petak bagi kategori sayur dan buah.
Pembinaan pasar baharu itu adalah sebagai susulan tindakan berhubung dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menggantikan Pasar Malam Gadong.
Majlis pembukaan rasmi bangunan yang tersergam indah itu disempurnakan oleh Menteri Tenaga dan Perindustriaan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar selaku Pengerusi Lembaga Darussalam Enterprise (DARE) yang juga diselajurkan dengan penyampaian Sijil Skim Pembiayaan Mikro Kredit kepada seramai 16 orang penerima skim berkenaan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Ugama di Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Awang Mohd. Syafie @ Muhammad Firdaus bin Tasad selaku Imam Surau Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang juga mengepalai selawat Ibrahimiah.
Sementara itu, Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Ugama di Pejabat Kebawah DYMM, Awang Muhammad Wahyuni bin Haji Mohd. Mansor yang juga selaku Imam Surau Pasar Pelbagai Barangan Gadong.
Para jemputan khas kemudiannya dibawa bagi menyaksikan petak-petak jualan yang terdapat di pasar tersebut.
Sebelum majlis perasmian, para jemputan khas dan orang ramai menunaikan sembahyang Fardhu Asar berjemaah di Surau Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang diimamkan oleh Awang Mohd. Syafie @ Muhammad Firdaus bin Tasad.
Majlis pembukaan rasmi itu dihadiri oleh Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Diraja, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Majlis Ugama Islam, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap.
Dengan terbinanya pasar tersebut ianya diharapkan akan dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada para peniaga dan juga para pengunjung disamping meningkatkan suasana perniagaan yang kondusif lagi selamat dalam berusaha mencari nafkah dan meningkatkan taraf pendapatan.
Dalam pada itu, peniaga-peniaga dan pengunjung-pengunjung adalah dinasihatkan supaya akan dapat sama-sama menjaga kebersihan dan memelihara kemudahan-kemudahan yang disediakan dengan baik dan sempurna bagi kepentingan bersama.
Bangunan Pasar Pelbagai Barangan Gadong mempunyai keluasan 5,979.00 meter per segi dan 64,290.00 kaki persegi mula dibina pada 9 November 2016 dan siap pada 23 Disember 2016.
Sebanyak 150 petak disediakan mengikuti kategori iaitu salai-menyalai sebanyak 16 petak, masak-memasak 81 petak manakala sebanyak 39 petak bagi kategori sayur dan buah.
Kemudahan bagi setiap petak salai-menyalai dan masak-memasak disediakan tempat memasak yang selesa termasuk hoods, sink, kabinet penyimpanan barangan penjaja, bekalan letrik dan soket bagi setiap petak serta kipas angin.
Tempat penyimpanan tangki gas bagi setiap petak yang berkunci, hose dan kepala gas juga disediakan. Didalam setiap cabinet penjaja disediakan alam pemadam api dan fire blanket.
Selain itu, kemudahan-kemudahan lain seperti tempat duduk meja dan kerusi untuk pengunjung juga disediakan yang diperbuat daripada stainless steel. Bangunan utama ini dilengkapi dengan cctv yang beroperasi 24 jam yang dikendalikan oleh anggota Polis yang bertugas di Blok Pentadbiran.
Seterusnya, blok pentadbiran yang berasingan mengandungi bilik pejabat pentadbiran, bilik pejabat polis dan bomba, bilik pejabat sekuriti, dapur dan tandas berasingan bagi lelaki dan perempuan untuk blok pentadbiran.
Manakala Bangunan Surau baharu yang berada bersebelahan dengan Pasar Pelbagai Barangan Gadong boleh memuatkan kira-kira 40 orang jemaah, di samping penyediaan tandas lelaki dan perempuan dan tempat berwuduk.
copyright / Sumber: pelita brunei
http://pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita/NewDisplayForm.aspx?ID=351
video: https://youtu.be/I6NwNBHYjUo
Location: Gadong Night Market New Building
Bandar Seri Begawan
https://maps.app.goo.gl/u5xzitfniE6Vu9Tz5
No comments:
Post a Comment