r

Sunday, September 19, 2021

90 kes baharu COVID-19 dicatatkan

 

Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas



BERAKAS, Ahad, 19 September. - Negara Brunei Darussalam mencatatkan sebanyak 90 kes baharu jangkitan COVID-19 yang telah disahkan di negara ini, membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 5,047 orang.

 

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu, pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.

 


Yang Berhormat menjelaskan, terdapat 23 lagi tambahan kes baharu bagi 13 kluster aktif yang sedia ada.

 

Kes-kes dalam kluster-kluster aktif tersebut jelasnya, adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak bersama beberapa kes positif sebelumnya.

 

Sementara itu, empat kluster baharu telah dikesan. Kluster-kluster baharu itu, terang Yang Berhormat, iaitu masing-masing bagi Kluster 4771, yang mengandungi tiga kes baharu; Kluster 4772, yang mengandungi empat kes baharu; Kluster 4785, yang mengandungi tiga kes baharu; dan Kluster 4761, yang mengandungi tujuh kes baharu.


Menurut Yang Berhormat, kluster-kluster baharu berkenaan juga mengandungi kes-kes yang dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya.

 

''Dalam pada itu, dua kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari. Kluster-kluster yang ditutup ialah Kluster 1385 dan Kluster 1387," tambah Yang Berhormat lagi.

 

Dengan itu, jumlah kluster aktif pada masa sekarang, ujar Yang Berhormat adalah sebanyak 91 kluster.

 

Manakala, 50 kes lagi tegasnya, masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

 

Juga hadir menyertai sidang tersebut, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

Sumber: Pelitabrunei

No comments: